Pages

SweetMuslimah.com

Sunday, March 28, 2010

~Tudung & Wanita~

Tudung.. apa perkaitan tudung dengan wanita..
Seorang wanita apabila menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mu'min keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal.. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Sekiranya dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ia bagaikan dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di hadapan khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, Alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga aurat, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan sehingga peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat. walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan leher, dada dan sebagainya.ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada juga rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian wanita mukmin itu bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita, iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadi daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya.Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias,maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada dan merasakan tudungnyalah yang paling cantik, up to date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan kepada Allah SWT. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan tuhan mahupun dengan manusia. Kenapa hati mesti berbunga dan ada yang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tetapi masih lagi masih berkepit dan keluar dengan teman lelaki. Ada yang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti Zina, Khalwat dan sebagainya.

Nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini.Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap mereka yang mencemarkan hukum Islam. Mereka merasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. lebih baik tidak bertudung, mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Allah SWT. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam, mereka tidak menampakkan perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Melalui pemakaian itu juga merupakan satu jalan kita berdakwah.

Walau apapun kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Islam. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan dia itu walaupun bertudung, namun tetap membuat kemungkaran. Sedangkan berbuat kemungkaran itu adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa yang lain..

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar, hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulur ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan Qada' dan Qadar dari Allah SWT.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Jangan tinggalkan sembahyang terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. buang sifat kasar dan sidat yang suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain dan jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita Muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui " Islam Is really beautiful". Oleh itu wanita-wanita Islam sekalian.. kalian mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama Islam melalui pakaian.. Wallahu'alam..

No comments:

Post a Comment